PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam, yang lebih dikenali sebagai Madam Pang, memohon maaf kepada para penyokong selepas pasukan Gajah Perang gagal menjuarai Piala AFF 2024.

Thailand tewas dengan agregat 3-5 kepada Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF 2024. Pada aksi pertama, Thailand mengalami kekalahan 1-2. Manakala dalam perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad, Thailand sekali lagi tewas, kali ini dengan keputusan 2-3.

“Mohon maaf kerana tahun ini (Thailand) hanya mampu bergelar naib juara Piala AFF. Terima kasih kepada semua kelab yang telah menghantar pemain mereka.

“Terima kasih juga kepada para pemain, staf, jurulatih, dan semua penyokong Thailand yang setia memberikan sokongan sepanjang sebulan ini,” kata Madam Pang menerusi Instagram peribadinya.

Dalam kenyataan berasingan di Instagram, FAT menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut tetapi tetap melihat potensi besar dalam pasukan Thailand di bawah bimbingan jurulatih Masatada Ishii.

“Piala AFF 2024 berakhir dengan keputusan yang mengecewakan bagi pasukan kebangsaan Thailand. Selepas tewas kepada Vietnam dalam perlawanan akhir kedua dengan keputusan 2-3, menjadikan agregat 3-5, Thailand terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

“Pasukan Thailand telah berusaha keras dan mempamerkan permainan cemerlang seperti gol indah daripada Supachok. Namun, kehilangan seorang pemain akibat kad merah pada minit ke-75 telah menyukarkan keadaan, memberikan peluang kepada Vietnam untuk menamatkan perlawanan dengan kelebihan,” menurut kenyataan FAT.

Walaupun kecewa, FAT menegaskan bahawa prestasi pemain menunjukkan potensi yang menjanjikan, termasuk perkembangan pasukan di bawah kendalian Masatada Ishii yang dilihat mampu melangkah lebih jauh di peringkat benua.

Thailand dijadualkan kembali beraksi dalam pusingan pertama kelayakan Piala Asia 2027 menentang Sri Lanka pada 25 Mac 2025.