PRESIDEN Snuker/Billiards Malaysia, Melvin Chia (gambar) mengakui peluang terbaik melihat kemampuan pemain-pemain negara beraksi sebagai tuan rumah selepas Qatar mengumumkan penarikan diri daripada Kejohanan Snuker Dunia ekoran jadual yang padat dalam penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Kita agak bernasib baiklah sebab acara ini sepatutnya diadakan di Qatar. Mula-mula Doha kata tiada masalah untuk menjadi penganjur sebab tahun ini FIFA World Cup juga akan diadakan di sana.

“Tetapi saat akhir Doha kata terlalu banyak tekanan, jadi mereka menarik diri daripada menjadi penganjur. Jadi bila dia lepaskan, International Federation tanya dekat kita, boleh tak kita buat? Saya rasa kita nak cubalah untuk lihat prestasi mereka dekat tahap dunia,” jelas Melvin.

Sementara itu, pihaknya masih berbincang dengan Kemboja untuk memasukkan acara beregu lelaki snuker dalam temasya Sukan SEA 2022 memandangkan ia adalah acara harapan untuk meraih kilauan pingat terutama emas.

Kita pun tengah lobi dengan Kemboja, harap-harap dapat masukkan acara double kerana acara yang kita minat.

“Kita selalu dapat pingat dalam acara men double, dari perbincangan yang kita ada dekat Kemboja, mereka akan masukkan acara beregu lelaki. Kita yakin kita boleh dapat satu emas daripada situ,” ujarnya kepada media.

Bagaimanapun, dia menyuarakan kegusaran terutamanya kepada pemain snuker wanita kerana rata-rata mereka sudah berumur manakala pemain muda masih belum  mampu mencapai standard yang ditetapkan untuk mencabar mana-mana negara lain.

Bagaimanapun Melvin memaklumkan pihaknya akan terus berusaha mencari bakat-bakat baru bagi pasukan wanita untuk memastikan mampu bersaing pada masa hadapan di peringkat tertinggi.