Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi komitmen untuk membantu atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, atau lebih dikenali sebagai Udin, susulan kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata pihaknya berasa sedih melihat keadaan atlet berusia 22 tahun itu, yang sebelum ini berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menurutnya, keadaan Hafizuddin kini stabil, namun kehilangan anggota badan akibat kecederaan berkenaan pastinya memberi kesan emosi kepada atlet itu dan memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.
Beliau turut telah berbincang dengan pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengenal pasti program terbaik untuk membantu Hafizuddin selepas proses pemulihannya selesai.
Beliau berharap Hafizuddin diberikan kekuatan dan semangat untuk kembali aktif dalam bidang sukan, termasuk mempertimbangkan penglibatan dalam sukan lain yang bersesuaian dengan keadaannya kelak.
Katanya, MOM juga akan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada Hafizuddin dan keluarganya, termasuk keperluan yang mungkin timbul sepanjang tempoh pemulihan.
“Untuk atlet kita ini, walaupun dia tidak boleh menjadi atlet sepenuhnya, tapi kita percaya kita mengenang jasa atlet-atlet kita yang telah berbakti kepada negara,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan jangka panjang, Nur Azmi berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) MOM bersama Presiden MOM bagi menentukan bentuk bantuan dan keperluan yang boleh disediakan.
Beliau turut mencadangkan agar penambahbaikan terhadap perlindungan insurans atlet diberi perhatian, khususnya dari segi keperluan mendapatkan rawatan segera dan akses ke hospital swasta sekiranya berlaku kecemasan.
Nur Azmi turut menggesa MSN mempertimbangkan penyediaan pengangkutan 24 jam berserta pemandu dan pemantauan bagi atlet di kawasan MSN, sebagai langkah mengurangkan risiko kejadian tidak diingini melibatkan penggunaan kenderaan sendiri.
Beliau menegaskan kebajikan Hafizuddin akan terus menjadi perhatian MOM dan pihaknya akan bekerjasama dengan MSN serta ISN untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan atlet yang berdepan situasi seperti itu terus mendapat bantuan sewajarnya.
“Insya-Allah, selagi saya berada di OCM, dan saya percaya kebajikan itu keutamaanlah, terutama atlet-atlet muda seperti Hafizuddin ini,” katanya.