MUNCUL selaku peledak utama Red Giants musim lalu, masa depan Herlison Caion dalam skuad Selangor FC musim 2023 masih menjadi tanda tanya sama ada bakal dikekalkan mahupun sebaliknya.

Kedudukan penyerang kelahiran Brazil itu yang masih memiliki kontrak bersama Gergasi Merah Kuning sehingga penghujung musim ini hanya akan ditentukan berdasarkan penilaian jurulatih dan jawatankuasa teknikal pasukan.

Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa, berkata ketika ini Caion masih lagi memiliki baki kontrak setahun namun penilaian harus dibuat mengikut kehendak semasa.

Aladdin(dua,kiri) bersama Pengarah Urusan DMSS, Lawrence Song (dua,kanan) pada majlis perjanjian kerjasama sambil disaksikan Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj.

“Dia masih ada kontrak lagi dengan pasukan dan kami akan lihat kepada situasi. Perbincangan antara dia, pengurusan dan ketua jurulatih (Tan Cheng Hoe) dijangka akan dibuat dalam minggu ini.

“Kami di pihak pengurusan serahkan kepada jurulatih dan jawatankuasa teknikal untuk menilai serta buat keputusan masa depan Caion,” katanya ditemui  pada Majlis Tandatangan Jalinan Kerjasama dengan syarikat pengeluar penghawa dingin terkemuka dari Jepun, Daikin, hari ini.

Sepanjang musim lalu, Caion telah merekodkan 14 gol hasil 22 penampilan bersama pasukan dan dianggap masih belum mencapai standart penyerang import dan sering menjadi baan bualan dikalangan penyokong Selangor.

Pada masa sama, Aladdin turut memaklumkan Selangor FC mengekalkan khidmat lima pemain importnya yang beraksi musim lalu.

“Mereka adalah George Attram,Yazan Al-Arab, Alex Agyarkwa, Jordan Ayimbila dan Hein Htet Aung,” katanya.