PENYERANG Terengganu FC, Brice Hermann Tchetche Kipre mendedahkan jurulatihnya, Mohd Nafuzi Muhammad Zain mengingatkan pasukan untuk bermain seperti biasa dan jangan khuatir terhadap pasukan lawan kerana Sang Penyu masih memiliki tempoh 90 minit di laman sendiri.
“Jurulatih Nafuzi memberitahu kami supaya jangan risau, ada 90 minit untuk bermain, dan kami bermain di laman sendiri. Kami akan turun seperti biasa,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Jelasnya, paling penting buat pasukan adalah mencari gol awal dan turun dengan sepenuh tumpuan serta semangat untuk mencari kemenangan buat Terengganu.

“Saya rasakan yang paling penting kami harus jaringkan gol pada aksi timbal balik, jadi kami akan lakukan segala-galanya dan mengharapkan keputusan tersebut akan berubah dan memihak kepada kami,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Kipre Lari Daripada Cita-Cita, Kini Gembira Lebarkan Karier di Malaysia
Bagaimanapun, Tchetche mengakui kehadiran Tan Cheng Hoe banyak mengubah skuad Selangor FC terutama di bahagian pertahanan apabila mereka menjadi semakin berdisiplin dari hari ke hari.
“Saya lihat mereka bermain dengan baik. Di bahagian pertahanan juga, mereka sangat baik sekarang. Tetapi, mereka bermain di laman sendiri dan di hadapan penyokong mereka, sebab itu mereka berjaya menjaringkan gol,” jelasnya.

Sementara itu, Kipre turut menyeru penyokong agar membanjiri Stadium Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memberi suntikan untuk mengancam kubu Selangor sehingga wisel penamat.
“Tolonglah datang dan menyokong kami. Kami sangat perlukan mereka untuk perlawanan ini. Kami berjanji akan buat lebih baik dan cuba untuk ke final.
“Dua gol adalah agak banyak tetapi kita masih ada 90 minit perlawanan untuk menekan mereka sehingga ke tiupan wisel terakhir,” kongsinya.