KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memuji corak persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya selepas mencatatkan kemenangan kelapan berturut-turut dalam lapan perlawanan Liga Super.

Ini selepas Harimau Selatan membaham Sang Kenari 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan JDT kukuh di tangga teratas liga dengan 24 mata, lima mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor FC di tangga kedua.

Esteban atau mesra disapa Tano turut menepis cerita mengenai kejuaraan sudah menjadi milik JDT sebaliknya mahu para pemain kekal fokus dan tidak terasa terlalu selesa ekoran musim yang masih panjang.

“Gembira dengan persembahan pasukan. Kemenangan adalah penting tetapi persembahan lebih penting. Ianya perlawanan yang sukar menentang pasukan tempat kedua kerana mereka bermain bola sepak yang bagus dan saya sukakannya. Kami menekan dari awal supaya mereka lakukan kesilapan dan pemain tahu bagaimana mahu lakukannya.

“Kami dominan pada babak kedua dan pasukan ini semakin berkembang dan saya sukakannya walaupun pada babak pertama pemain kelihatan seperti mahu menghabiskan perlawanan lebih awal hingga sedikit menggangu aksi dan saya menyuruh mereka bertenang dan pada separuh masa kedua mereka berjaya lakukannya.

“Masih terlalu awal untuk bercerita tentang kejuaraan. Kami bermain dengan beberapa pasukan yang baik dan beraksi sebagai satu pasukan yang besar. Ini baik buat kami tanpa mengira tempat sendiri atau di tempat lawan, kami hormat setiap lawan dan perjalanan masih panjang. Sudah tentu saya gembira tetapi tidak mahu berasa selesa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Esteban Solari

Tano turut berpuas hati dengan percaturannya memasukkan pemain-pemain muda tempatan kerana mereka menunjukkan kesungguhan dan akan menjadi pemain yang matang apabila sering diturunkan mengambil contoh Feroz Baharudin.

“JDT adalah pasukan yang besar dan kami mahu berikan pemain muda untuk menyinar dalam pasukan. Kami akan cuba setiap pemain berbakat dan berikan mereka tahap yang dimahukan. Kami percaya kepada Feroz dan dia buktikan kemampuannya dan semakin banyak perlawanan dia beraksi, dia akan lebih matang,” jelasnya.

Bekas pembantu jurulatih skuad muda Argentina itu juga memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekalkan rekod bolos dalam tujuh perlawanan dan menyatakan sebab utama adalah sikap pemain yang mampu memberikan perhatian sepanjang 90 minit permainan.

Feroz mencipta satu gol dan menjaringkan satu gol.

“Anda bermain bola sepak baik apabila anda bertahan dengan baik. Ini yang saya pelajari di Argentina. Saya gembira kerana tidak bolos. Ianya bukan hanya taktik tetapi konsentrasi dan tidak menyerah sepanjang 90 minit. Para pemain bertahan dengan baik dan juga fokus sepanjang permainan dan saya puji sikap para pemain kerana mereka berhak mendapatkannya,” tambahnya lagi.

Selepas lapan perlawanan, JDT berjaya menjaringkan 36 gol dengan semua lawan diratah bagaikan harimau kelaparan. Kini Harimau Selatan menanti kunjungan PDRM FC pada Sabtu dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu.