Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) memulakan Jelajah Promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta menyemarakkan sokongan rakyat menjelang penganjuran kedua-dua temasya itu tahun depan.

Jelajah berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub, di The Volume, The Arch Galleries, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Rashid berkata, kempen itu bertujuan membawa semangat temasya 2027 lebih dekat kepada masyarakat di seluruh negara, termasuk komuniti di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita mahu semangat 2027 dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya di bandar utama, tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Sebagai permulaan, kempen itu menampilkan perarakan trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya melalui lima lokasi strategik di ibu negara, iaitu Pasar Seni, The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Pelbagai aktiviti turut disediakan bagi menarik penyertaan orang ramai, termasuk sesi ramah mesra bersama atlet negara, penampilan maskot rasmi, persembahan pancaragam dan pasukan sorak, permainan interaktif bertemakan sukan, pengagihan cenderamata serta sesi fotografi.

Menurut Abdul Rashid, jelajah itu akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan bagi meluaskan jangkauan promosi kepada lebih banyak negeri dan komuniti.

Usaha berkenaan turut meneruskan momentum promosi MASOC 2027 menerusi penyertaan dalam program KIBAR, MADANI Kita dan Le Tour de Langkawi sebelum ini.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 18 hingga 29 September 2027, dengan penganjuran melibatkan empat kluster, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, berteraskan aspirasi “Raikan Perpaduan”.