Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melakar sejarah baharu apabila berjaya menganjurkan Olympic Day Run 2026 dengan elemen kelestarian menerusi inisiatif hijau buat pertama kali di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), semalam.

Acara berprestij yang berlangsung di kampus UTeM, Durian Tunggal itu menghimpunkan lebih 5,000 peserta, majoritinya mahasiswa universiti berkenaan, sekali gus menjadikannya antara sambutan Hari Olimpik terbesar pernah dianjurkan di negara ini.

Majlis pelepasan rasmi disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohd Norza Zakaria.

Turut hadir Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr Haji Nur Azmi Ahmad, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin serta barisan kepimpinan tertinggi MOM dan UTeM.

Bertemakan “Green and Heritage”, edisi kali ini tampil unik dengan pengenalan 10 langkah kelestarian yang memberi fokus kepada pengurangan sisa, pengurangan impak terhadap alam sekitar serta peningkatan kesedaran amalan hijau dalam kalangan peserta dan komuniti.

Usaha tersebut menyaksikan Olympic Day Run 2026 diiktiraf sebagai “The First Olympic Day Run with Green Initiatives” dan secara rasmi direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Norza berkata penganjuran kali ini bukan sekadar acara larian, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh nilai Olimpik dalam kalangan masyarakat.

“Hari Olimpik bukan sekadar sambutan sukan, tetapi satu platform global yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang selaras dengan nilai Olimpik iaitu kecemerlangan, hormat dan persahabatan,” katanya.

Dalam pada itu, Norza yang berasal dari Melaka turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada UTeM bagi penubuhan Engineering and Sports Excellence Award.

Anugerah berkenaan bertujuan mengiktiraf graduan serta bakal jurutera yang cemerlang dalam akademik dan pada masa sama aktif serta menyerlah dalam bidang sukan.

Suasana acara turut diserikan dengan kehadiran ramai legenda sukan negara dan bekas atlet Olimpik yang hadir memberi sokongan serta inspirasi kepada peserta.

Antara yang hadir termasuk legenda bola sepak negara, Soh Chin Aun, legenda hoki negara Mirnawan Nawawi, Michael Chew dan Paul Lopez, selain bekas perenang negara Hoe Yean Khiew, penerjun Bertrand Rhodict Lises serta juara dunia wushu, Shin Peng Si.

Penganjuran Olympic Day Run 2026 dilihat bukan sahaja berjaya mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, malah menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran acara sukan yang menitikberatkan elemen kelestarian alam sekitar.

Kredit Gambar: Facebook/Majlis Olimpik Malaysia