MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyelaraskan sesi pertama Kursus Pentadbiran Sukan (MPS) khas untuk Guru Pendidikan Jasmani bermula 21 hingga 23 Februari 2023.
Kursus ini dikendalikan oleh dua Pengarah Kursus Kebangsaan (NCD) bertauliah iaitu Kalaivalli R. Ratnam dan Fong Wan Hor untuk 22 orang Guru Pendidikan Jasmani yang dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mereka dibantu oleh sepasukan fasilitator iaitu Prof. Madya Dr Selina Khoo, Arif Astaman, Ahmad Badrulhisam Che Kassim, En Chong Choong Seong, Lim Cheng Kian, dua orang penceramah jemputan, Ang Li Peng dan Wan Norafzan Wan Mahadi.
Kursus dimulakan dengan taklimat oleh Moira Tan Siew See, Penolong Setiausaha Agung MOM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan MOM.
Majlis Perasmian Kursus telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.
“Guru Pendidikan Jasmani merupakan golongan yang bersemangat untuk menyuburkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“MOM komited untuk memudahkan Pergerakan Olimpik di peringkat akar umbi terutamanya untuk Guru Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah,” tegas Mohd Nazifuddin dalam ucapan perasmiannya pada Selasa.