PERSATUAN Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) bakal menghantar lima skuad lelaki negara bagi menggalas cabaran di Kejohanan Piala Dunia Hoki Masters (WMH) 2026 yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini.
Kontinjen Malaysia akan bersaing dalam lima kategori umur iaitu 40, 45, 50, 60 dan 65 tahun, dengan pertandingan diadakan di beberapa venue utama termasuk Schiedam, Rotterdam, Breda di Belanda serta Brasschaat, Antwerp di Belgium.
Piala Dunia Hoki Masters merupakan kejohanan paling berprestij dalam kalangan pemain hoki veteran dunia dan dianjurkan setiap dua tahun. Edisi 2026 menjadi penganjuran kelapan sejak World Masters Hockey ditubuhkan pada 2012 hasil penyatuan International Masters Hockey Association (IMHA) dan World Grand Masters Association (WGMA).
Sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu, Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) menganjurkan Majlis Santapan Hi Tea Diraja bagi mengumpul dana untuk memperkukuhkan persiapan kontinjen negara.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Penaung SAS. Turut hadir ialah Presiden SAS, YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah serta Pengerusi Penganjur majlis, Tan Sri Datuk Seri Rashpal Singh Randay.
Penganjuran majlis itu bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah menjadi platform menghargai jasa bekas pemain kebangsaan yang masih aktif mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Pada masa sama, ia membuka peluang kepada badan korporat, penaja dan individu untuk bersama-sama menyokong perjuangan skuad negara.
Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah yang ditubuhkan pada 1994 terus memainkan peranan penting dalam menghimpunkan bekas pemain kebangsaan dan negeri, selain mencatat pelbagai kejayaan di kejohanan hoki veteran antarabangsa menerusi pelbagai kategori umur.
Lima skuad negara kini menggalas harapan untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan meneruskan tradisi kecemerlangan Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Masters 2026.