SUSULAN penggantungan Kpah Sherman selepas menerima dua layangan kad kuning pada aksi timbal balik bertemu Selangor FC Isnin malam, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain menegaskan posisi tersebut bakal diambil alih Petrus Shitembi.

“Sherman digantung setelah menerima dua kad kuning. Jadi kita ada Petrus Shitembi untuk menggantikan. Shitembi pun hanya menunggu masa untuk beraksi. Dia selalu diturunkan dalam perlawanan besar.

“Saya tahu kemampuan Shitembi. Dari segi tahap kecergasannya, bagaimana tight permainannya. Saya rasa walaupun dia tidak selalu diturunkan tetapi dia tetap cergas untuk diturunkan bermain,” jelasnya ketika ditemui media pada sesi latihan pasukan, Ahad.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Kelantan itu menuntut pemain agar menumpukan konsentrasi penuh dalam perlawanan supaya tidak berlaku kealpaan pada minit-minit terakhir perlawanan.

“Lebih kepada fokus, konsentrasi, kita harap perkara tersebut tidak berulang, kita tahu Terengganu perlu menjaringkan gol, jadi kita harus fokus sepanjang perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, Nafuzi enggan mendabik dada kerana menyedari cabaran hebat bakal dihadapi skuad kendaliannya setelah mimpi ngeri yang terpaksa ditelan Sang Penyu apabila bolos tiga gol berdepan Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

“Kita tahu esok ibarat final untuk kami semua. Satu cabaran yang agak besar. Kita ketinggalan 1-3 di Selangor. Tewas itu perkara biasa. Kita melepaskan tiga jaringan, itu adalah sesuatu yang memeranjatkan,”ujarnya.

Terengganu FC bakal membuat perhitungan melayan kunjungan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Mizan Zainal Abidin pada Isnin.