Dashi Tamaki (no 18) melakukan warm up dalam perlawanan STL Premier GP Perak semalam.

Pengurusan Negeri Sembilan Antlers melihat kehadiran tekong antarabangsa Jepun, Dashi Tamaki, sebagai langkah memperkukuh pasukan selain membuka ruang untuk memperluas tarikan saingan Sepak Takraw League (STL) ke pasaran antarabangsa.

Pengurus pasukan, Zarul Iskandar, berkata pihaknya sudah memerhatikan kemampuan Dashi sejak Sukan Asia sebelum mengambil keputusan membawa pemain itu menyertai pasukan berkenaan.

Menurutnya, pemilihan Dashi turut bertujuan memberikan kepelbagaian kepada barisan pemain N9 Antlers yang sebelum ini turut menampilkan pemain dari Thailand.

“Kami sudah memerhatikan Dashi Tamaki sejak Sukan Asia lagi, jadi kami bawa dia ke sini. Satu lagi, kami mahu memberikan warna berbeza kepada pasukan. Kami ada pemain Thailand dan sekarang kami ada pemain Jepun,” katanya.

Zarul turut menyamakan langkah membawa masuk pemain Jepun itu dengan pendekatan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mendapatkan pemain antarabangsa bagi meningkatkan daya tarikan pasukan.

Beliau berharap kehadiran Dashi mampu menarik lebih banyak perhatian peminat sepak takraw di Jepun terhadap STL, sekali gus meningkatkan pengiktirafan terhadap liga berkenaan di luar Malaysia.

Dashi merupakan antara tonggak skuad kebangsaan sepak takraw Jepun dan beraksi di posisi tekong. Pengalamannya mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa, termasuk Piala Dunia Sepak Takraw, dijangka memberikan nilai tambah kepada N9 Antlers.

Langkah itu memperlihatkan usaha N9 Antlers menggabungkan pemain berbeza latar belakang bagi memperkukuh pasukan, di samping menjadikan STL sebagai platform yang mampu menarik perhatian peminat sepak takraw dari pelbagai negara.