Select Page

[Open Letter]: Eko-sistem sukan yang perlu diberi perhatian Hannah Yeoh

[Open Letter]: Eko-sistem sukan yang perlu diberi perhatian Hannah Yeoh

Oleh: MOHD FARIQ

TERLEBIH dahulu, saya bagi pihak FlashSukan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat atas pelantikan selaku wanita kedua memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

Dalam sejarah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diwujudkan pada 1964 dengan diterajui oleh Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Yang Berhormat berada dalam golongan elit bersama Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berkhidmat dari 31 Mac, 2004 hingga 17 Mac, 2008 selaku wanita pertama memegang portfolio itu.

Untuk makluman Yang Berhormat, portfolio ini dianggap junior tetapi meneliti senarai Menteri di KBS, empat daripadanya diangkat menjadi Perdana Menteri – Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Dattuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa prejudis, nama Mohd Najib dan Khairy Jamaluddin dianggap antara Menteri Belia dan Sukan terbaik pra-media sosial dan zaman ledakan maklumat.

Skuad bola sepak negara layak ke Piala Asia 2023

Mohd Najib memperkenalkan pelbagai inisiatif sepanjang khidmat beliau dari 1986 hingga 1990, termasuk melancarkan Dasar Sukan Negara (1988), asas yang menjadi tunjang pembangunan sukan secara menyeluruh, selain memperkenalkan biasiswa untuk atlet, memantau perkembangan skuad badminton negara yang mara ke final Piala Thomas 1988 dan 1990 serta menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam usaha bersama-sama memajukan sukan dan merancang kejayaan mengumpul 67 pingat emas Sukan SEA 1989.

Beliau juga menjadi peneraju utama dalam mengkaji semula struktur dan peranan Majlis Sukan Negara di samping membentuk atlet berprestasi tinggi. Sewaktu pimpinannya juga, Najib memperkenalkan skim insentif atlit, jurulatih, biasiswa sukan dan latihan luar negara.

Menyedari negara turut memerlukan barisan atlet pelapis, Najib turut mewujudkan program Tunas Cemerlang dan Kem Bakat di sekolah untuk mencungkil dan menggilap ahli sukan remaja.

Azizulhasni Awang

Dasar Sukan Negara yang diluluskan pada Januari 1988 menyebut bahawa `Sukan berhak mendapat pengiktirafan, penghormatan dan galakan yang sama diberi kepada program sosial asas seperti pendidikan, pengangkutan, perumahan dan perkhidmatan kesihatan untuk membolehkan kerajaan mencapai perkembangan negara, perpaduan dan kestabilan yang berpanjangan’.

Khairy pula meremajakan KBS dengan menarik minat belia menerusi penampilannya yang giat bersukan dengan menjadikan Hari Sukan Negara (HSN) sebagai agenda nasional serta memacu kontinjen mencatat keputusan cemerlang di bawah program Kita Juara untuk Sukan SEA 2017.

Beliau turut memperkenalkan program Podium bagi merencanakan perkembangan atlet paling elit negara bagi bersaing di pentas Olimpik.

Selain Azizulhasni Awang dan penerjun Choong Jun Hoong bergelar juara dunia dalam bidang masing-masing, enam lagi gelaran dunia dicipta menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20, masalah pembelajaran), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20, masalah pembelajaran), pasukan wusyu (dua gelaran dunia), Cheah Liek Hou (badminton SU5, kecacatan anggota bahagian atas) dan skuad boling wanita.

Muhammad Ziyad Zokefli – Foto: Bernama

Yang Berhormat, sukan mampu mencorakkan masa depan sesebuah negara, baik dari segi pembinaan sahsiah diri, pembangunan insaniah, memartabat jati diri, menjana produktiviti dan menggerakkan industri.

Visi Sukan Negara 2030 adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan terdahulu serius dalam menjadikan sukan agenda nasional.

Adalah penting untuk Yang Berhormat memahami Pembangunan sukan memerlukan eko-sistem yang komprehensif meliputi infrastruktur, pengurusan dan kejurulatihan, pembentukan bakat dari peringkat awal serta kebajikan atlet, peruntukan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan bagi pembangunan sukan elit, rawatan perubatan dan penyelidikan.

Pasukan hoki negara antara yang menjadi tumpuan tahun ini

Yang Berhormat mungkin boleh mempertimbang menghidupkan semula Jawatankuasa Kabinet untuk Pembangunan Sukan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi memastikan semua kementerian, agensi dan pemegang taruh duduk semeja membuat dasar membangunkan negara menerusi sukan dan sehaluan, seiring dan sekata.

Ini kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Pesuruhjaya Sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpin Malaysia (MPM) adalah pemegang taruh terbesar yang menaungi atlet, jurulatih dan pertubuhan bukan kerajaan yang memacu pembangunan di peringkat akar umbi.

Saya dan Flashsukan serta seluruh rakyat mendoakan agar Yang Berhormat menjadi Yang Berkhidmat demi negara.

Majulah Sukan untuk Negara!.

Video Terkini

Loading...