KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) dan pelumba berbasikal muda negara, Sawda Hasbullah muncul antara penerima utama pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 selepas cemerlang dalam arena sukan tanah air sepanjang tahun lalu.
KHM menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik hasil perkembangan positif sukan hoki negara termasuk kejayaan skuad lelaki senior yang kekal berada dalam kelompok 20 terbaik dunia selain pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa.
Di bawah kepimpinan presidennya, Dato’ Sri Subahan Kamal, badan induk hoki negara itu turut dipuji kerana memiliki sistem pembangunan menyeluruh bermula daripada peringkat akar umbi hingga skuad kebangsaan.
Sepanjang tahun lalu, skuad Speedy Tigers berjaya meraih tempat ketiga Piala Asia selain mempertahankan dominasi di rantau Asia Tenggara menerusi kejayaan memenangi emas Sukan SEA di Thailand.
Skuad hoki lima sebelah negara turut menyumbang emas di temasya sama, manakala pasukan bawah 18 tahun membawa pulang pingat gangsa Kejohanan Piala Asia B-18 di China.
Sementara itu, Sawda pula dinobatkan penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam sukan berbasikal trek.
Atlet kelahiran Melaka itu mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara 1 kilometer ujian masa wanita remaja pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) selain memecahkan rekod remaja Asia yang turut diiktiraf sebagai rekod dunia.
Sawda kemudian menambah koleksi emas kedua menerusi acara pecut wanita selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Park Hye Rin pada final di Velodrom Nasional Nilai.
Naib Presiden SAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pencapaian konsisten serta pengurusan baik menjadi faktor utama pemilihan KHM sebagai penerima anugerah berkenaan.
Beliau turut menyifatkan Sawda sebagai antara prospek paling menyerlah dalam sukan berbasikal negara dengan potensi besar untuk terus mencipta kejayaan pada masa depan.