PAHANG Rangers sekali lagi layak ke final Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) musim ini dan bertekad untuk menebus kehampaan musim lalu dengan menjulang trofi sebagai hadiah kepada Presiden Kelab, Tengku Fahd Mua’adzam Shah.

Antara pemain yang mengimpikan trofi kali ini adalah Sufri Shamil yang pernah bergelar pemenang pada edisi pertama MPFL pada 2019 ketika itu bersama pasukan Selangor MAC.

Selepas membantu Negeri Sembilan meraih tempat ketiga pada tahun lalu, dia yang kini menyarung jersi Pahang Rangers memasang tekad mahu kembali berada di podium juara lantas menjulang gelaran MPFL buat kali kedua.

Untuk menjadikannya kenyataan, Sufri tekad memberikan prestasi terbaik kariernya dalam aksi final menentang JDT pada 5 dan 14 Ogos ini.

“Karakter yang semua pemain tunjukkan ketika menentang Selangor adalah menakjubkan, kami mahu ulanginya. Malah perlu dua kali ganda lebih baik kerana kita semua tahu apa JDT boleh lakukan, sedikit kesilapan boleh merugikan.

“Saya ada pengalaman juara, tetapi saya akui ‘vibes’, suasana dan sokongan kali ini jauh berbeza dengan 5 tahun dulu. Futsal hari ini menjadi satu fenomena, ia akan menjadi sangat manis jika dapat mendakap trofi dalam suasana seperti ini,” ujar Sufri.

Sementara itu Farhan Khairul Anuar mahu menghadiahkan trofi kemenangan ini kepada Tengku Fahd selain kepada keluarganya yang sentiasa menjadi motivasi tambahan yang membakar semangatnya.

“Tengku Fahd begitu sayangkan pasukan ini, keghairahannya cukup luar biasa. Sokongannya kepada pemain tidak pernah putus dan Tengku Fahd sentiasa ada di belakang pemain. Dia telah merubah ‘scene’ futsal menjadikannya satu fenomena. Kita tidak boleh nafikan arena futsal berubah hari ini kerana Tengku Fahd.

“Kini tiba masa dia menuai hasil selepas lebih tujuh tahun menubuhkan pasukan ini, perjuangan kami kali ini bukan semata-mata untuk keinginan peribadi, tetapi kami tekad memberikan segala terdaya untuk memenangi kedua-dua pusingan final ini untuk hadiahkan kepada Presiden kesayangan kami trofi liga pertama seterusnya mencipta sejarah baru,” kata Farhan.

Pahang Rangers bakal bertemu Johor Darul Ta’zim dalam dua perlawanan akhir yang epik dengan Stadium Sukpa, Kuantan akan menjadi gelanggang perlawanan pertama pada Sabtu sebelum aksi timbal balik di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 14 Ogos nanti.