PASUKAN Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah melupakan kekalahan di final Liga Premier Futsal Kebangsaan sebaliknya hanya fokus untuk mencipta kejayaan apabila sekali lagi berhadapan Pahang Rangers FC dalam aksi final Malaysia Futsal Cup 2023.

Pengendali JDT, Juan Antonio Miguel Garcia juga mahu pemainnya berasa gembira dan beraksi tanpa tekanan meskipun mungkin akan merasa sedikit berlainan kerana kali pertama beraksi di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Perlawanan final esok adalah satu lagi final. Kami sudah melupakan final lalu dan hanya fokus pada perlawanan ini. Kami gembira dan bangga kerana layak ke dua final dan objektif kami adalah untuk menang final ini dab mahu para pemain gembira menghadapi permainan final ini

“Ini kali pertama saya berada di Malaysia dan semua venue disini. Katanya Stadium Malawati ini lebih baik untuk futsal dengan kapasiti yang besar dan harap dapat tunjukkan kepada semua penyokong keindahan futsal,” katanya pada sidang media pra perlawanan.

JDT mungkin kehilangan kapten yang juga penjaga gol utama, Azrul Hadee Taufiq tetapi Juan Antonio tidak gusar kerana penjaga gol yang lain juga mempunyai kualiti yang sama dan semua bersedia jika diturunkan pada final esok.

Juan Antonio juga tidak menganggap trofi kemenangan itu penting buat dirinya tetapi buat semua yang terlibat dalam pasukan sebagai hasil kerja keras mereka selama tujuh bulan ini.

“Kapten saya cedera tetapi kami mempunyai penjaga gol simpanan yang baik dan mereka bersedia untuk diturunkan. Ianya bukan masalah kerana kami mempunyai pasukan yang baik.

“Trofi ini penting buat JDT dan bukannya untuk saya. Ianya untuk semua dalam pasukan ini sebagai bukti kerja keras selama tujuh bulan untuk sampai ke tahap ini dan jika kami menang, kemenangan adalah milik semua,” jelasnya.

Sementara itu Azrul Hadee juga senada dengan ketua jurulatihnya yang mahu fokus kepada aksi final ini dan akan memberikan 100 peratus dalam permainan sekiranya keadaan membenarkan dirinya untuk beraksi.

JDT layak ke final selepas mengenepikan cabaran penyandang juara, Selangor MAC dengan keputusan aggregat 8-3.