SELEPAS empat hari meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, keluarga mendiang P Rajes hari ini menerima faedah caruman dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM5,555.

Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal sendiri menyampaikan sumbangan di bawah Skim Bencana Pekerjaan pertubuhan itu, di kediaman mendiang di Batu Caves Selangor.

“Hari ini kita lakukan Program Ziarah PERKESO Prihatin dan RM2,000 kita sudah masukkan ke akaun isteri mendiang untuk pengurusan jenazah. Sementara itu, PERKESO juga akan membayar RM3,555 setiap bulan kepada isteri mendiang sebagai faedah orang tanggungan,” kata Subahan, ditemui di rumah mendiang P Rajes.

Pengerusi Lembaga PERKESO Dato Sri Subahan Kamal menyerahkan bantuan Faedah Orang Tanggungan kepada balu P Rajes, S Komathy.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO John Riba Marin.

Menurut beliau, kedua-dua sumbangan terbabit adalah di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.

Subahan berkata, pihaknya akan berhubung rapat dengan keluarga mendiang, malah kebajikan anak mendiang juga akan terbela terutamanya ketika mahu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kelak.

Mendiang P Rajes meninggalkan seorang balu S Komathy,36, dan tiga anak Thivyaalini, 9; Pirutheswar, 7; dan Kaveenilavan, 1 tahun 9 bulan.

(Dari kiri) Balu mendiang P Rajes, S Komathy, Thivyaalini (anak) Pirutheswar (anak), G Indrani (ibu mendiang) dan Kaveenilan (anak) berduka, akibat kehilangan P Rajes.

Mendiang Rajes meninggal dunia pada usia 37 tahun bemain bersama PJ City sejak 2018, membuat 20 penampilan liga pada musim pertamanya dengan kelab itu.

Perlawanan terakhir mendiang adalah pada 25 Oktober lalu, ketika PJ City menentang Kuala Lumpur City.

Pada Ahad lalu, mendiang terbabit dalam nahas jalan raya kira-kira jam 10.30 malam.

Motosikal ditunggang mendiang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok hingga meninggal dunia di tempat kejadian.