Germany’s midfielder #10 Jamal Musiala (2R) celebrates scoring his team’s fourth goal with teammates during a friendly match between Germany and Finland ahead of the 2026 FIFA World Cup football tournament, in Mainz, western Germany on May 31, 2026. (Photo by Kirill KUDRYAVTSEV / AFP)
Jerman menampilkan aksi meyakinkan menjelang saingan Piala Dunia 2026 apabila mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Finland dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi.
Penyerang VfB Stuttgart, Deniz Undav muncul watak utama kemenangan skuad kendalian Julian Nagelsmann apabila meledak dua gol selain mencipta satu bantuan jaringan dalam aksi yang berlangsung di hadapan penyokong sendiri.
Kemenangan tersebut hadir pada waktu yang tepat buat Jerman yang bakal memulakan kempen Piala Dunia dalam tempoh beberapa hari lagi dengan misi mengembalikan reputasi mereka di pentas antarabangsa.
Selepas dua edisi berturut-turut tersingkir seawal pusingan pertama, skuad juara dunia empat kali itu dilihat semakin bersedia untuk memberi cabaran serius pada kejohanan kali ini.
Undav membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi tandukan kemas sebelum terus memainkan peranan penting dalam gol kedua Jerman apabila menyediakan hantaran kepada Florian Wirtz sejurus selepas babak kedua bermula.
Pemain berusia 28 tahun itu kemudian menambah gol peribadinya pada minit ke-57 hasil kombinasi baik bersama pemain muda berbakat, Lennart Karl.
Jamal Musiala melengkapkan kemenangan bergaya Jerman enam minit kemudian menerusi penyudah berkualiti yang gagal diselamatkan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.
Prestasi cemerlang Undav dijangka menambah persaingan dalam perebutan tempat di bahagian serangan Jerman menjelang aksi pembukaan Piala Dunia.
Bagaimanapun, pemain itu enggan memikirkan soal pemilihan kesebelasan utama dan menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada barisan kejurulatihan.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah membantu pasukan mencapai sasaran lebih besar di kejohanan berkenaan.
Jerman dijadual mengharungi satu lagi aksi pemanas badan menentang Amerika Syarikat sebelum membuka kempen Kumpulan E menentang Curacao pada 14 Jun.
Mereka kemudian akan berdepan Ivory Coast dan Ecuador dalam usaha memburu tempat ke pusingan kalah mati.