KURANG seminggu aksi sepak mula kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia Piala AFC akan berlangsung khususnya melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Bali, Indonesia.
Bercakap kepada FLASH SUKAN pada Sabtu, bekas pemain pertahanan kentalnya, Mohd Sabree Mat Abu berharap pasukan KDA FC memanfaatkan peluang beraksi di kejohanan peringkat kelab untuk nilai tambah khususnya pemain muda.
“Saya lihat pemain Kedah musim ini banyak dibarisi pemain muda. Pentas ini boleh digunakan bagi merebut sebanyak pengalaman buat mereka kerana bertemu kelab terbaik di Asia Tenggara.
“Jika layak ke pusingan seterusnya merupakan satu bonus dan skuad yang diterajui Aidil Sharin Sahak bukan calang-calang jurulatih. Dia pernah membawa beberapa kelab terdahulu ke Piala AFC dan mencipta kejayaan di Liga Premier Singapura,” ujar bekas tonggak Harimau Malaya yang menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Mohd Sabree menjaringkan satu gol ketika membenam Home United pada tahun 2008.
Sementara itu, dalam menghangatkan lagi suasana, Twitter @kda_fc mengimbas kembali perlawanan terakhir Kumpulan D bertemu Home United FC pada tahun 2008.
Dalam aksi itu, Kedah membalas dendam selepas tewas di pertembungan pertama dengan kemenangan besar di Alor Setar.
Nelson San Martin, Mohd Sabree dan Marlon Alex James menjaringkan gol seterusnya tiga mata dikutip dalam aksi akhir kumpulan seterusnya muncul naib juara kumpulan ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, kejayaan layak ke peringkat suku akhir ini tidak berpanjangan selepas tewas menentang Al-Muharraq FC.
Pada tahun yang sama khidmat pemain import tidak digunakan selepas Liga Malaysia menghentikan pengambilan pemain luar dan memberi kesan kepada persiapan skuad Hijau Kuning.
AFC Cup 2008 merupakan kali pertama buat Kedah layak ke pentas suku akhir dan menjadi penanda aras skuad itu untuk terus berjaya musim ini.
KDA FC akan membuat perhitungan bersama juara Piala Copa Paulino Alcantara yang juga juara piala domestik Liga Filipina, Kaya FC Iloilo serta juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United.
Semua perlawanan Kumpulan G akan berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali.