PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru Skuad Harimau Malaya Bawah 17 Tahun (B-17) agar jangan mudah leka dalam perjuangan untuk mengharumkan nama negara di peringkat lebih tinggi.
Hamidin berkata demikian ketika meluangkan masa menyaksikan sesi latihan Skuad Harimau Malaya B-17 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.
Hamidin menekankan seruan negara ke peringkat Asia ini ialah cabaran yang harus setiap pemain hargai dan berjuang dengan sehabis baik demi Malaysia.
“Bagaimanapun, setiap pemain diingatkan tidak boleh leka kerana lawan di peringkat Asia ini memiliki kekuatan setara.
“Namun, saya yakin pemain dilihat bersedia cuma apa yang penting ialah semangat berjuang demi negara yang tinggi perlu diterapkan untuk ke peringkat lebih tinggi. Kita tidak boleh leka,” kata Hamidin.
Hadir sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dan Exco FAM, Christopher Raj selaku pengurus pasukan.
Skuad Harimau Malaya B-17 ketika ini dalam kem latihan pusat fasa akhir menjelang Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023.
Dalam pada itu, Skuad Harimau Malaya B-17 berdepan dengan dua perlawanan persahabatan menentang B-17 Uzbekistan (6 Jun) dan B-17 Arab Saudi (9 Jun).
Malaysia di Kumpulan A bersama negara Yemen, Laos dan pasukan tuan rumah, Thailand.
Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua ini dari Kumpulan B antara Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.
Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 2023 ini dengan empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023 menjadi rebutan.
Hadir sama, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Exco FAM, Christopher Raj selaku pengurus pasukan.