KEPUTUSAN undian Piala Asia 2027 menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal, dan Laos, satu cabaran besar yang perlu dihadapi skuad Harimau Malaya.
Walaupun bakal melepaskan tugas sebagai ketua jurulatih selepas tahun ini, Pau Marti tetap optimis bahawa pasukan kebangsaan memiliki potensi besar untuk melangkah jauh dalam kejohanan yang akan berlangsung di Arab Saudi itu.
“Saya pernah katakan sebelum ini, pasukan ini bukan sedang bermula, tetapi sedang berkembang. Kebanyakan pemain berada pada usia matang dan telah bermain bersama selama tiga hingga empat tahun secara konsisten. Ini satu kelebihan besar buat Malaysia,” ujar Pau Marti.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sebenar Harimau Malaya terletak pada perpaduan dan kerjasama pemain, bukan semata-mata pada kehadiran seorang jurulatih.
“Pada akhirnya, jurulatih bukanlah yang paling penting. Pemain adalah kunci utama. Jika mereka kekal bersatu, berjuang untuk satu sama lain, dan terus berkembang sebagai satu pasukan, saya yakin mereka boleh mencapai kejayaan di Piala Asia nanti,” tambah Pau dengan penuh keyakinan.
Kapten pasukan, Dominic Tan, juga melihat undian ini sebagai peluang besar untuk Malaysia membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
Beliau menyedari cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan seperti Vietnam, namun percaya Harimau Malaya mampu mencipta kejutan dengan semangat juang yang tinggi.
“Sudah tentu setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar, terutama menentang Vietnam, salah satu pasukan terkuat di Asia.
“Namun, kami akan menghadapinya sebagai satu pasukan dan memberikan yang terbaik,” kata Dominic.
Dengan persiapan rapi dan momentum yang sedang dibina, Malaysia diharap mampu mencipta sesuatu dan layak ke Piala Asia 2027.