PENGENDALI baharu PDRM FC, Datuk Yunus Alif berbangga dengan semangat melawan yang ditunjukkan barisan pemainnya meskipun ada beberapa pemain yang baru sahaja menyertai latihan pasukan kerana kekangan tugas.

Beliau  yang kembali mengambil alih pasukan selepas lapan tahun gembira apabila PDRM FC berjaya menewaskan Selangor sekali lagi, kali ini 2-1 dalam saingan Piala Malaysia walaupun gagal layak ke suku akhir selepas tewas 3-5 secara aggregat.

“Sebenarnya ramai daripada pemain kami adalah anggota PDRM yang terlepas beberapa sesi latihan kerana bertugas jadi banyak tenaga yang telah digunakan dan kami perlu ambil beberapa langkah untuk kembalikan semula prestasi mereka tetapi semangat melawan mereka ini perlu dikekalkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yunus juga turut mengakui tindakannya memasukkan dua penyerang, Hadi Fayyadh dan Bruno Suzuki pada lewat permainan adalah sebahagian daripada taktikalnya kerana tahu pertahanan Selangor akan kepenatan ketika itu.

“Saya memasukkan dua penyerang pada hujung aksi sebagai taktikal kerana ketika itu pertahanan Selangor sudah kepenatan dan kami gunakan kesempatan ini untuk menyusup masuk melepasi mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yunus juga melihat potensi yang ada pada pasukan ini untuk mengharungi baki perlawanan liga tetapi bimbang dengan jadual yang terlalu lama berehat mungkin akan menjejaskan para pemainnya untuk mengekalkan tempo kecergasan.

Datuk Yunus Alif

“Kita mempunyai baki lapan perlawanan tetapi jadual yang terlalu lama berselang menyukarkan kita untuk mengekalkan tempo kecergasan dan saya akan berbincang dengan jurulatih kecergasan untuk memastikan pemain kekal cergas.

“Pasukan ini mempunyai potensi tetapi masih ada satu dua perkara yang perlu diperbaiki bagi memastikan kami kekal di pertengahan liga musim ini,” tambahnya.

Sang Saka Biru kini akan kembali fokus kepada aksi Liga Super menentang Penang FC minggu hadapan sebelum beraksi dalam Challenge Cup bertemu KL Rovers dalam peluang merebut salah satu trofi yang dipertandingkan.