JURULATIH Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin penantian 44 tahun Malaysia bakal ditamatkan 25 barisan pemain kebangsaan sekaligus melakar sejarah merangkul kejuaraan tersebut buat kali kelima pasukan negara.
Bagi Pan-gon, dia sudah masak dengan corak permainan skuad Tajikistan dan berharap pemain dapat menghadiahkan kemenangan tersebut buat seluruh rakyat Malaysia.
Selain itu, Pan-gon turut berharap agar perlawanan dapat disudahkan dengan kejayaan dalam 90 minit kerana tidak mahu memperjudikan nasib pasukan kebangsaan menerusi penentuan sepakan penalti.
“Ia akan menjadi pencapaian terbaik selepas 44 tahun Malaysia meraih kejayaan King’s Cup. Kita sangat memahami Tajikistan. Saya rasa pasukan kami dan Tajikistan adalah pasukan yang baik. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik.
“Saya memang menantikan untuk berlawan dengan pasukan pada tahap sebaik ini dan dengan tekanan sebegini.
“Kita ingin menunjukkan semangat sepasukan yang baik, semangat berlawan demi negara dan juga penyokong Malaysia.
“Saya harapkan ia ditamatkan hanya dalam 90 minit permainan tetapi saya yakin pemain kami yakin dan cukup fokus untuk mengatasi situasi ini,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan akhir di Stadium 700th Anniversary petang tadi.

Sementara itu, arkitek tengah kebangsaan, Brendan Gan Seng Ling memiliki naluri bahawa kemenangan bakal menjadi milik Harimau Malaya dalam pertarungan malam esok.
Jelasnya, dia sedar betapa pemain dan penyokong dahagakan kejayaan buat skuad kebangsaan dan bersedia menjulang trofi berprestij tersebut untuk diraikan bersama penyokong di Malaysia.
“Saya tahu ia akan terjadi. Saya telah mengharungi pelbagai halangan dalam kehidupan. Mindset kami sentiasa positif. Tiada pemikiran negatif, hanya fikiran positif sahaja. Kami akan melakukan terbaik esok untuk membawa pulang piala tersebut.
“Pertama sekali, ia adalah penghargaan terbesar untuk memakai lencana di dada, untuk memakai baju hitam dan kuning ini.
“Hadir ke sini, pemain merasai tekanan kerana penyokong sangat mahukan sesuatu untuk menang dan piala. Ia tidak kira samada persahabatan, perlawanan kelas A, kita hendak menang kesemuanya,” ujarnya.