SKUAD remaja India membuktikan pasukan itu adalah terbaik di rantau Asia apabila membelasah Jepun 5-1 pada perlawanan ketiga liga sepusingan Piala Sultan Johor pada Selasa.

Selepas kekalahan kepada Afrika Selatan, skuad bimbingan CR Kumar berazam bangkit dengan kemenangan ke atas Jepun dan keazaman mereka bukan omongan kosong.

Mereka memperoleh gol seawall minit kedua permainan apabila Uttam Singh menjaringkan gol padang cantik, sebelum Rohit melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-11.

Jepun cuba bangkit menerusi jaringan pukulan sudut penalty Saeki Ikumi pada minit ke-15, untuk merapatkan jurang kepada 2-1.

Selepas itu, India terus menutup peluang buat Jepun sebaliknya skuad itu meledak tiga lagi gol masing-masing dijaringkan Purty Johnson m20, Dhami Boby Singh m30 dan Lakra Armandeep m50.

Kemenangan itu membolehkan India mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan dan kini berada di tangga kedua di belakang Australia, sementara menanti keputusan antara Afrika Selatan menentang Malaysia.

India bakal berdepan Australia, satu perlawanan yang ditunggu-tunggu pada Rabu.

Untuk rekod, India dan Australia, masing-masing sudah dua kali menjulang trofi Piala Sultan Johor.

India melakukannya pada edisi 2013 dan 2014, Australia pada edisi 2016 dan 2017, manakala Great Britain adalah pasukan paling berjaya di kejohanan ini dengan tiga kejuaraan pada edisi 2015, 2018 dan 2019.