SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan Argentina apabila tewas 2-6 dalam perlawanan penentuan tempat ke-9 hingga ke-12 Kejohanan Piala Dunia 2025 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia pada Jumaat.

Kekalahan ini merupakan yang kedua buat Malaysia di tangan Argentina dalam kejohanan ini.

Sebelum ini, mereka turut tewas 2-5 kepada pasukan yang sama dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Argentina mendahului perlawanan dengan jaringan pembukaan menerusi penalti strok Joaquin Gonzalez pada minit ke-10. Gaston Rodriguez kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-13, diikuti jaringan Facundo G Navarro (m-15) dan Santiago Moron (m-16) untuk menjadikan kedudukan 4-0.

https://

Malaysia cuba bangkit pada separuh masa kedua. Muhammad Ashran Hamsani berjaya menjaringkan gol pertama negara pada minit ke-25, disusuli jaringan Muhamad Izham Azhar pada minit ke-39.

Namun, Argentina terus menguasai permainan dan menambah dua lagi gol menerusi Gaston Rodriguez (m-23) dan Juan Eleicegui (m-40) untuk mengesahkan kemenangan 6-2.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12 menentang Trinidad & Tobago pada Ahad ini.

Sebagai rekod, Malaysia mengakhiri saingan kumpulan di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas kesemua tiga perlawanan. Selain tewas kepada Argentina, Malaysia turut dibelasah Jerman 4-12 dan Iran 0-3.