SESI post mortem mengenai kegagalan kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja, berlangsung dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu, namun Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan ianya bukan bertujuan mencari kesilapan mana-mana pihak.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, post mortem itu diadakan bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang ada untuk diperbaiki bagi menghadapi temasya sukan yang akan datang termasuklah Sukan Asia Hangzhou yang dijadual berlangsung pada September depan.

Katanya, antara yang dibangkitkan oleh persatuan sukan kebangsaan dalam post mortem terbabit, adalah mengenai pengurusan program latihan sebagai persiapan menghadapi temasya di Kemboja.

Antara isu dibangkitkan persatuan sukan kebangsaan dalam post mortem terbabit, adalah mengenai pengurusan program latihan sebagai persiapan menghadapi temasya di Kemboja – Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. Pic KBS

“Apa yang penting dalam post mortem ini adalah kita bukan mencari kesilapan mana-mana pihak. Sebaliknya mencari kelemahan dan kekuatan yang ada untuk kita perbaiki terutama bagi menghadapi Sukan Asia dalam masa terdekat ini.

“Semua maklumat dan maklum balas yang kita terima dalam post mortem itu, akan dikumpul dan membuat rumusan dalam satu bentuk laporan yang lebih tersusun. Kita akan bentangkan kepada ahli lembaga pengarah MSN dan menteri,” katanya, ditemui pada Karnival Allianz Moveforward di MSN Bukit Jalil.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang melancarkan karnival berkenaan.

Post mortem yang diadakan selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu membabitkan MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), wakil daripada persatuan sukan kebangsaan, jurulatih dan wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun.

Hannah Yeoh mahu kelemahan yang boleh diperbaiki hasil Post Mortem Sukan Sea Kemboja, perlu diperbaiki segera sebelum Temasya Sukan Asia Hangzhou. Pic KBS

Kontinjen Malaysia gagal menepati sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA Kemboja apabila hanya membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa serta mengakhiri saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Ia disifatkan pencapaian terburuk Malaysia sepanjang penyertaan di temasya dwitahunan itu yang diperkenalkan pada 1959.

Sementara itu, Hannah yang turut mengulas mengenai post mortem itu , berkata kehadiran wakil daripada NSSU membolehkan mereka memberi maklum balas secara terus terhadap apa yang dibangkitkan oleh persatuan sukan kebangsaan.

“Bila kita dengar cabaran yang mereka (persatuan sukan) hadapi, kita dapat input secara terus daripada wakil NSSSU dan semua input ini telah dikumpul bersama dan akan dikaji dengan teliti.

“Kita mahu pastikan dalam masa terdekat kalau ada cabaran jangka pendek yang kita hadapi dan boleh tangani sebelum Sukan Asia, kita akan lakukan. Untuk jangka panjang kita sudah ada HLC (Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.