SASARAN satu pingat emas ditetapkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di temasya Sukan SEA Kemboja 5 hingga 7 Mei depan, disambut baik ketua jurulatih baharu, Ahmad Jais Baharom.

Dipilih menjawat jawatan itu awal Februari lalu, Ahmad Jais berkata, dia sedia menyediakan pasukan terbaik untuk menggalas cabaran diPhnom Penh.

Menjanjikan pemilihan yang telus tanpa prejudis, Ahmad Jais berharap 12 pemain yang akan terpilih nanti akan memikul tanggungjawab mereka sebagai pemain, dengan baik.

“Kali ini pemilihan akan membabitkan siapa yang terbaik dan membabitkan gabungan pemain senior dan junior kerana prestasi mereka tidak jauh beza.

“Ini kerana keputusan sebelum ini dengan membawa pemain muda tampak tidak begitu memberangsangkan jadi kali ini kita ambil keputusan untuk menyenaraikan 25 pemain terbaik sebelum 12 yang akan terpilih membabitkan gabungan senior dan junior,” katanya.

Ahmad Jais Baharun dipilih Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan.

Namun, Ahamd Jais menegaskan semua pemain perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan antaranya semangat sepasukan, jati diri pemain, tanggungjawab dan tahap kecergasan akan menjadi elemen penting pemilihan 12 pemain terakhir nanti.

“Cabaran saya sekarang ini adalah untuk perbaiki prestasi pemain dan tingkatkan prestasi mereka. Saya perlu lebih fokus kepada kelemahan untuk kita baiki sebelum Sukan SEA.

“Antara kelemahan ketara yang dapat saya lihat adalah konsistensi dan semangat juang serta keyakinan diri itu yang perlu diperbaiki sekarang ini,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman mengumumkan senarai 25 pemain selepas mengadakan sesi pemilihan dan ujian kecergasan skuad lelaki sepak takraw Kebangsaan pada 24 hingga 26 Februari lalu.

Sebanyak 25 pemain akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat bermula 1 Mac sebelum mengumumkan senarai akhir 12 pemain untuk didaftarkan bagi Sukan Sea 2023.

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Hanoi tahun lalu, skuad sepak takraw gagal membawa pulang pingat emas dan sekadar meraih tiga perak dan satu gangsa.