KELEBIHAN mungkin memihak Sabah FC kerana membawa bekalan satu gol bermain di laman sendiri pada aksi suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2022.

Namun tidak bagi ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan masih ada perlawanan kedua dan beliau mahu pemainnya berhati-hati.

“Kami mencatat keputusan yang baik di pusingan pertama lalu tetapi ini tidak bermakna kami layak ke separuh akhir walaupun kami akan bermain di tempat sendiri pada perlawanan kedua.

“Kami tidak boleh untuk mengambil mudah kerana Kuching City menunjukkan prestasi yang sangat baik,” katanya yang juga bekas pemain Sabah musim 1994 hingga 1997.

 

Jaringan tunggal pemain tengah, Baddrol Bakhtiar membantu skuad The Rhinos meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Liga Premier dan menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

Atas kertas, keputusan itu membolehkan anak didik Kim Swee memiliki sedikit kelebihan apabila hanya perlu mengelak daripada tewas pada aksi kedua nanti sekiranya mahu melangkah ke pusingan seterusnya.

Perlawanan timbal balik akan dimainkan pada Jumaat di Stadium Likas dan pemenang akan menentang sama ada Johor Darul Ta’zim FC atau Kelantan FC di separuh akhir.

Sementara itu, Facebook Sabah Football Club menyeru penyokong setia seluruh Sabah supaya hadir beramai-ramai memenuhi Stadium Likas yang boleh memuatkan kapasiti 35,000 penonton.

“Mari kita kasi penuh Likas Jumaat ini. Perlawanan suku akhir ke-2 menentang Kuching City FC, 90 minit memisahkan kita ke separuh akhir.

“Kita kasi GAGAR Likas!!! ,” katanya.