Selangor FC terpaksa menerima hakikat beraksi tanpa sokongan penyokong sendiri dalam aksi Piala FA menentang Sabah selepas permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak Mahkamah Timbang Tara melalui Emergency Sole Arbitrator, semalam.

Keputusan itu dibuat pada 7 September 2026 selepas permohonan kecemasan yang difailkan Selangor bagi mendapatkan stay terhadap hukuman beraksi di stadium tanpa kehadiran penyokong tidak diluluskan.

Rayuan berkenaan berkait dengan hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 sebelum dikekalkan Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025.

Hukuman tersebut dikenakan susulan insiden membabitkan kelakuan penyokong serta aspek penganjuran perlawanan yang menjadi pertikaian dalam kes berkenaan.

Permohonan kecemasan itu difailkan di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan telah didengar pada jam 5 petang waktu Malaysia, semalam.

Susulan keputusan Emergency Sole Arbitrator itu, Selangor FC kekal diwajibkan menjalani aksi Piala FA musim 2026/2027 menentang Sabah tanpa kehadiran penyokong di gelanggang sendiri pada 9 September 2026.

Ini bermakna hukuman yang sebelum ini dikenakan ke atas kelab berkenaan terus berkuat kuasa dan tidak akan ditangguhkan bagi perlawanan yang dijadualkan berlangsung esok.

Bagaimanapun, keputusan menolak permohonan stay itu tidak menamatkan keseluruhan proses rayuan yang sedang dibawa Selangor berhubung kes berkenaan.

Proses pendengaran penuh terhadap rayuan Selangor FC masih terbuka dan akan diteruskan mengikut prosedur timbang tara yang ditetapkan.