Atlet ju-jitsu negara, Alfaldo Riski Hendra mencipta pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila meraih dua pingat pada Kejohanan Dunia Jiu-Jitsu (SJJIF World Jiu-Jitsu Championship) di Jepun.
Atlet kelahiran Sarawak itu membawa pulang pingat perak dalam kategori No-Gi dan gangsa bagi kategori Gi, sekali gus menamatkan penampilannya di Jepun dengan dua kejayaan podium.
Pencapaian tersebut hadir selepas Alfaldo melalui jadual pertandingan antarabangsa yang padat sepanjang musim 2026, termasuk mewakili Malaysia pada Kejohanan Asia JJAU di Almaty, Kazakhstan, pada Julai lalu.
Beliau kemudian meneruskan cabaran di Kejohanan Serantau Asia Tenggara JJAU di Kemboja dan menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik sebelum kembali beraksi di Jepun.

Atlet ju-jitsu negara, Alfaldo Riski Hendra mencipta pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila meraih dua pingat pada Kejohanan Dunia Jiu-Jitsu di Jepun.
Alfaldo pada awalnya menyasarkan pingat emas, namun mengakui keputusan di Jepun tetap memberikan perkembangan positif selepas sebelum ini gagal menaiki podium di Kazakhstan dan Kemboja. Pengalaman daripada beberapa kejohanan itu turut membantunya mengenal pasti aspek permainan yang perlu diperbaiki.
Menurutnya, setiap keputusan dalam sukan tempur perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses perkembangan dan pengalaman daripada kekalahan menjadi dorongan untuk melakukan penambahbaikan pada sesi latihan serta pertandingan berikutnya.
“Dalam sukan tempur, satu keputusan tidak menentukan keseluruhan perjalanan seseorang atlet. Saya belajar banyak daripada kekalahan dan daripada perlawanan yang tidak berjalan seperti yang saya mahukan,” katanya.
Alfaldo turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Ju-Jitsu Sarawak, barisan jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Prof. Diego serta The Grappling Center atas sokongan dan peranan mereka dalam perkembangan kariernya sebagai atlet.
Di luar gelanggang, Alfaldo turut mempunyai kerjaya sebagai Professional Technologist (Ts.) dan Regional Technical Manager, Asia-Pacific dalam industri tenaga solar. Beliau kini mahu meneruskan pembangunan dalam laluan ju-jitsu kebangsaan sambil memburu pencapaian lebih besar di pentas antarabangsa.
Selepas mencatat kedudukan ke-13 di Kazakhstan, berada dalam kelompok lima terbaik di Kemboja dan kini meraih dua podium di Jepun, Alfaldo melihat musim 2026 sebagai satu proses untuk terus berkembang dengan sasaran utama masih belum berubah, iaitu berdiri di podium tertinggi.