Melaka Titans terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Warriors dalam aksi pertama Kumpulan A STL Premier 2026 Grand Prix (GP) Perak, sekali gus memulakan kempen musim ini dengan langkah positif.
Melaka Titans terlebih dahulu menguasai set pertama menerusi kemenangan tipis 15-13, namun Kelantan Warriors bangkit memberikan tentangan sengit untuk mengikat kedudukan selepas memenangi set kedua 17-16.
Bagaimanapun, Melaka Titans berjaya menampilkan aksi lebih meyakinkan dalam set penentuan apabila menewaskan Kelantan Warriors 15-7 untuk memastikan kemenangan pertama mereka di GP Perak.
Melaka mempertaruhkan Aekkasit Naphom di posisi apit kanan, Zarif Marican sebagai tekong dan Zaim Razali selaku apit kiri, manakala Kelantan menurunkan Madlee Anda, Muhd Faisal dan Muhd Zulfikri dalam barisan utama.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan Warriors perlu segera bangkit apabila dijadualkan bertemu Kuala Lumpur Thunder esok dalam aksi seterusnya.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Johor Tigris turut memulakan kempen STL Premier 2026 dengan kemenangan apabila menewaskan pendatang baharu dan juara bertahan STL Division 1 2026, Kedah Eagles, 2-0.
Johor Tigris mempamerkan penguasaan dalam kedua-dua set untuk mencatat kemenangan 15-11 dan 15-7, sekali gus memperoleh permulaan positif dalam saingan GP Perak.
Gandingan Nattapong Kotchapaksari di posisi apit kanan, Zuhri Muhd Zin sebagai tekong dan Lutfil Hadi selaku apit kiri merangkap feeder menjadi taruhan Johor Tigris dalam perlawanan tersebut.
Kedah Eagles pula mempertaruhkan Hapeesorn Hnahno, Ashraf Qawi dan Zulhusni Basri bagi mengharungi aksi pertama mereka dalam saingan STL Premier selepas muncul juara STL Division 1 2026.
Johor Tigris akan meneruskan cabaran menentang ATM Guardians esok, manakala Kedah Eagles perlu menilai kembali prestasi mereka menjelang aksi seterusnya menentang ATM Guardians pada Jumaat di GP Perak.