SASARAN pingat kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Kemboja 2023, hanya akan diumumkan 30 April ini, serentak dengan majlis penyerahan Jalur Gemilang yang akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pengumuman mengenai sasaran belum dapat dilakukan berikutan bengkel penetapan sasaran hanya akan diadakan pada Khamis ini, bersama wakil persatuan sukan, ketua jurulatih, pegawai daripada MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menilai prestasi terkini atlet sebelum sasaran akhir ditetapkan.

Katanya, penetapan sasaran buat kontinjen negara bukan perkara yang mudah kerana perlu dinilai daripada setiap aspek apatah lagi temasya kali ini banyak sukan tradisi negara tuan rumah dipertandingkan.

Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengesahkan bengkel penetapan sasaran ke Sukan sea Kemboja, hanya akan bermesyuarat pada Khamis.

“Kalau kita lihat di Kemboja kali ini, ada 18 jenis sukan tradisi dipertandingkan yang mana kita tiada kekuatan atau tidak pernah menyertainya. Jadi, memang sukar untuk kita menilai prestasi atlet kita.

“Pada masa yang sama ada sukan-sukan tertentu yang tidak dipertandingkan di Kemboja tetapi dipertandingkan di Vietnam (tahun lalu). Jadi, ini akan mengurangkan sasaran pingat kita tetapi kita yakin sukan-sukan lain yang biasa dianjurkan di Sukan SEA dan dipertandingkan di Kemboja akan pamer prestasi terbaik.

“Perkara ini semua kita kena ambil berat, penetapan sasaran bukan perkara ringan. Kita perlu menilai dari semua aspek sebelum kita menetapkan sasaran,” katanya ketika ditemui selepas Larian Obor Sukan SEA Kemboja di Perkarangan Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Pada edisi terakhir di Hanoi tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas dengan mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan apabila mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa – pencapaian terburuk kontinjen negara sejak 1983.

Sukan terjun menjadi penyumbang terbanyak emas kontinjen negara apabila memenangi lapan emas diikuti olahraga lima emas manakala karate dan gimnastik masing-masing membawa pulang empat emas.