Perak Bison memulakan kempen STL Premier 2026 Grand Prix (GP) Perak dengan langkah kanan apabila bangkit menewaskan Penang Black Panthers 2-1 dalam aksi Kumpulan D, sekali gus memberikan permulaan positif buat pasukan tuan rumah pada hari pertama kejohanan.

Perak yang tewas 7-15 dalam set pertama berjaya memperkemaskan permainan untuk bangkit menguasai dua set berikutnya, masing-masing dengan kemenangan 15-7 dan 15-9 bagi memastikan kemenangan keseluruhan.

Gandingan Madzrul Aziq di posisi apit kanan, Khathadet Srichan sebagai tekong dan Amirul Zazwan selaku apit kiri merangkap tekong hadapan memainkan peranan penting dalam usaha Perak Bison mengatasi cabaran Penang.

Sebaliknya, Penang Black Panthers yang mempertaruhkan Muhd Adisyazmin, Muhd Imran dan kapten pasukan, Muhd Irzan, gagal mengekalkan momentum selepas memenangi set pembukaan.

Perak Bison akan meneruskan cabaran menentang Negeri Sembilan Antlers pada Jumaat ini, manakala Penang perlu menewaskan lawan sama esok bagi menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir GP Perak.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Bomba Fighters turut mencatat kemenangan selepas menewaskan Selangor Pistons 2-1.

Bomba Fighters, yang baru dinaikkan ke divisyen utama selepas muncul naib juara STL Division 1, memulakan penampilan mereka dalam saingan Premier dengan keputusan positif menerusi kemenangan 15-11, 11-15 dan 15-10.

Pasukan itu mempertaruhkan Shahrul Ishaqdin di posisi apit kanan, Apinann Promjaree sebagai tekong dan Mohd Syazreenqamar selaku apit kiri merangkap tekong hadapan untuk mengharungi aksi pembukaan tersebut.

Bomba Fighters dijadualkan bertemu PDRM Defenders esok, manakala Selangor Pistons akan berdepan pasukan sama pada Jumaat ini dalam usaha memburu kemenangan pertama.

Berakhirnya hari pertama GP Perak menyaksikan beberapa pasukan sudah mula mengatur langkah untuk memburu tempat ke suku akhir, dengan aksi seterusnya dijangka terus menyajikan persaingan sengit dalam saingan STL Premier 2026.