Pengurus pasukan Terengganu Turtles, Putra Ghani, mahu barisan pemainnya mengekalkan prestasi terbaik dalam saingan STL 2026 Divisyen 1 meskipun pasukan itu kembali beraksi di divisyen berkenaan selepas tersingkir daripada STL Premier musim lalu.

Menurut Putra, kehadiran beberapa pemain kebangsaaan yang baru pulang daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 diharap dapat membantu pasukan mempamerkan aksi berkualiti sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak pengurusan hanya mengharapkan pemain menampilkan permainan seperti kebiasaan mereka tanpa dibebani tekanan untuk membuktikan sesuatu.

“Walaupun kita pasukan Terengganu ini ada pemain-pemain (Zulkifli Razak dan Aidil Aiman) yang baru sahaja pulang daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, ini adalah level STL dan apa yang kami mengharapkan daripada pihak pengurusan ialah permainan seperti biasa yang mereka ada.

“Kita harapkan prestasi yang lebih menarik untuk STL (bagi musim) kali ini,” katanya.

Terengganu Turtles memulakan kempen Kumpulan C dengan langkah positif apabila bangkit menewaskan PSM-SSM Mavericks 2-1 menerusi keputusan 9-15, 15-7, 15-3 dalam aksi semalam.

Selepas tewas pada set pertama, Terengganu memperkemaskan permainan untuk menguasai dua set berikutnya, sekali gus meraih kemenangan sulung dalam usaha memburu tempat ke peringkat seterusnya.

Cabaran lebih getir menanti Terengganu apabila dijadualkan bertemu Bomba Fighters hari ini dalam perlawanan yang bakal menentukan kedudukan juara Kumpulan C.

Selepas terpaksa meninggalkan STL Premier pada penghujung musim lalu, Terengganu pastinya mahu menggunakan saingan Divisyen 1 kali ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan dan menghidupkan semula peluang kembali ke kelompok elit sepak takraw negara.