KEHADIRAN pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba ke Penang FC bukan sahaja akan menjadi aset buat skuad Harimau Kumbang tetapi juga membawa pengalaman yang ada pada dirinya sepanjang di Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kebaikan pasukan.

Syamer menyertai Penang FC secara pinjaman dari JDT dan dia dilihat memainkan peranan seperti mentor kepada pemain-pemain muda ketika Kejohanan Empat Penjuru Agarbomb Performance Cup 2024 di Kuala Terengganu yang berakhir pada Ahad.

Dia juga mahu kembali mendapatkan rentak serta minit permainan dan atas sebab itulah dia memilih untuk dipinjamkan dari JDT disamping mahu memberikan impak buat Penang FC mengharungi musim Liga Malaysia 2024-25.

Syamer membarisi kesebelasan utama Penang FC

“Saya masih sesuaikan diri di sini dan kejohanan ini adalah satu persiapan yang baik untuk kami hadapi Liga Super musim ini kerana kami mempunyai masa untuk mengubah beberapa kesilapan yang dikenal dari tiga perlawanan ini.

“Kelab ini banyak dibarisi pemain muda dan saya hadir dari kelab yang besar dan memupuk satu mentaliti yang baik dengan persekitaran yang baik. Saya harap kehadiran saya dapat bagi benda yang positif dalam pasukan dari aspek permainan dan ‘guide‘ pemain muda.

“Saya di JDT hampir tujuh tahun dan saya banyak belajar di sana dan sekarang ianya masa untuk saya gunakan di sini dan dapat beri kebaikan untuk pasukan musim ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Syamer bawa watak mentor dalam pasukan

Syamer juga mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya bekerja keras dan memberikan aksi terbaik buat para penyokong dengan membuktikan kemampuan masing-masing di atas padang.

“Jangkaan dari penyokong sememangnya tinggi dan itu hak mereka yang kami hormati. Sebagai pemain, kami perlu beri yang terbaik dan buktikan dalam padang buat menggembirakan para penyokong, ” katanya.

Ketika beraksi di Agarbomb Performance Cup 2024, Penang FC berjaya meraih satu kemenangan dan dua kekalahan dengan Syamer Kutty berjaya menjaringkan satu gol ketika menewaskan musuh tradisi, Kedah Darul Aman FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.