Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Penang FC malam semalam sebagai hadiah paling bermakna buat penyokong Gergasi Merah, terutama apabila kejayaan itu hadir dalam perlawanan ke-2,000 kelab berkenaan yang turut mengulangi sejarah pertemuan pertama kedua-dua pasukan 105 tahun lalu.

Beliau menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai luar biasa sambil memuji kerja keras pemain yang berjaya memastikan Selangor meraih tiga mata penuh untuk melonjak ke tangga kedua Liga Super.

“Saya rasa apa yang dipamerkan oleh pemain adalah sangat luar biasa. Saya amat menghargai kerja keras semua pemain untuk memberikan persembahan terbaik dan keputusan cemerlang ini.

“Lebih-lebih lagi, ini adalah perlawanan ke-2,000 pasukan. Ia sangat bermakna kerana kita menang menentang Penang, sama seperti perlawanan pertama kita 105 tahun lalu,” katanya pada sidang media semalam.

Mengulas mengenai corak permainan, pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan jaringan pembukaan pada minit ke-11 memainkan peranan penting dalam membantu Selangor mengatasi pertahanan tersusun pasukan pelawat.

Menurutnya, jaringan kedua turut memberikan kelegaan kepada benteng pertahanan Selangor, sekali gus membolehkan pasukan meneruskan permainan dengan lebih yakin.

“Gol pertama itu sangat penting kerana Penang terkenal dengan sistem pertahanan yang sangat kompak. Gol kedua pula mengurangkan tekanan ke atas bahagian pertahanan kami,” katanya.

Pan Gon turut mengingatkan pemain supaya mengekalkan pendekatan agresif sepanjang perlawanan dan tidak membenarkan lawan menguasai rentak permainan, terutama dalam saingan liga yang menyaksikan setiap mata amat penting.

Perlawanan sulung pasukan Selangor dalam sejarah penganjuran bola sepak negara ialah pada tahun 1921 apabila mereka turun menentang Penang di Padang Kelab Selangor, dengan skuad Gergasi Merah menang dengan keputusan 5-1.