FOTO|BAM

KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tidak dapat menahan kemarahannya selepas mendakwa umpire ‘menghadiahkan’ tiga mata percuma kepada lawan dalam aksi pusingan kedua Aaron Tai-Kang Khai Xing di Malaysia Masters, semalam.

Herry menyifatkan keputusan berat sebelah itu mencetuskan kekecewaan bukan sahaja kepada beliau dan pemain muda itu, malah turut disambut dengan cemuhan penyokong di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Permainan mereka cukup baik dan sesuai dengan percaturan tetapi memang terganggu… tiga kali keputusan berat sebelah, bola keluar dikatakan masuk, bola masuk dikatakan keluar,” katanya.

Herry turut membidas tindakan umpire mendakwa bulu tangkis terkena badan Aaron sedangkan pemain itu sudah mengelak dan berada agak jauh dari arah jatuhan bola.

“Paling ketara bila kedudukan 14-12, dia kata bola kena badan Aaron dan itu beri kelebihan moral kepada Denmark, sedangkan kami dalam momentum untuk kejar mata,” ujarnya.

Menurut Herry, insiden itu berlaku kerana gelanggang dua tiada sistem ‘challenge’, menyebabkan pemain terpaksa menerima saja keputusan walaupun tidak masuk akal.

Katanya lagi, beliau bercadang untuk meminta BAM dan pengarah kejurulatihan Rexy Mainaky mengemukakan bantahan rasmi kepada BWF kerana isu pengadilan yang tidak adil ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.

ARTIKEL BERKAITAN: