KONTROVERSI pengadil pada perlawanan terakhir gelanggang 2 melibatkan pemain beregu lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing ketika menentang Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menjadi “punca” keruntuhan semangat gandingan muda negara, yang terpaksa akur tersingkir di pusingan kedua Perodua Malaysia Masters 2025.

Biarpun berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan, pengadil perlawanan berkali-kali mengatasi keputusan penjaga garisan, dan dikatakan membuat keputusan yang tidak tepat sehingga membuatkan dua jurulatih beregu negara, Herry Iman Pierngadi dan Mohamad Miftah bangkit menghampiri pengadil untuk membuat bantahan.

“Dah 4… 5… kali bola (bulu tangkis) out dia cakap in, bola tak touch (menyentuh badan) dia cakap touch. So ia akan ganggu kita punya mind set juga lah,” kata Khai Xing, dengan riak wajah terganggu dengan insiden terbabit.

Pada perlawanan itu, Aaron-Khai Xing tewas set pertama 10-21 kepada piliihan ketujuh dari Denmark itu, namun berjaya bangkit pada set kedua.

“Set pertama memang kami buat banyak kesilapan tetapi cuba melawan pada set kedua dan berjaya mengeluarkan corak permainan kami sendiri.”

Selepas bangkit memenangi set kedua 26-24, Khai Xing-Aaron memberi tentangan sengit kepada Kjaer-Sogaard dalam set penentuan.

Pada kedudukan 12-14, Aaron-Khai Xing menyangka berjaya mendapatkan mata ke-13, namun pukulan Kjaer yang disahkan penjaga garisan keluar dari gelanggang, diatasi pengadil perlawanan yang mengatakan bulu tangkis terkena telinga Aaron.

Akibat keputusan itu, perlawanan terhenti selama kira-kira 3 minit, sebelum bersambung dengan gandingan Denmark mendahului 15-12. Beraksi di bawah tekanan, Aaron-Khai Xing akur tersingkir dari kejohanan dengan akeputusan 16-21.

 

FOTO|BAM