PENYERANG warisan negara, Joao Figueiredo mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki meskipun muncul wira jaringan dalam kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 semalam.
Figueiredo yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM) berkata aksi seperti ini amat berguna buat pasukan kebangsaan untuk menilai kelemahan dan memperbaiki aspek yang masih longgar sebelum menghadapi cabaran lebih besar.

“Ada perkara positif dan negatif untuk saya malam ini, tetapi bagus ia berlaku dalam perlawanan persahabatan kerana dari situ kami boleh perbaiki dan lihat apa yang perlu dilakukan dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyifatkan kemenangan ke atas Singapura bukan sahaja menyuntik keyakinan, malah membuktikan keserasian barisan serangan Harimau Malaya semakin padu dengan gandingan baharu yang diterapkan jurulatih Peter Clamovski.
“Saya gembira dapat membantu pasukan kebangsaan sekali lagi dan lebih gembira kerana kita menang. Yang penting, kami teruskan usaha ini untuk capai sasaran yang sudah ditetapkan,” katanya.
Gol Figueiredo pada minit ke-54 melengkapkan kemenangan selepas Stuart Wilkin membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama, sekali gus menghadiahkan kegembiraan buat lebih 22,000 penyokong yang hadir di Bukit Jalil malam tadi.