AZEEM Fahmi sah tidak ke Sukan SEA Thailand, Disember ini namun Olahraga Malaysia (MA) tidak cemas kerana sudah ada pengganti muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim menegaskan keputusan menarik diri itu dibuat selepas perbincangan bersama jurulatih Ken Harnden dan semua pihak berkaitan.
Menurutnya, Azeem yang kini menuntut di Amerika Syarikat perlu fokus kepada akademik dan persiapan jangka panjang 100 meter, menuju Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
“Kita faham kalau ada Azeem ia beri kekuatan besar, tetapi kali ini kita ada Danish yang sudah buktikan kemampuan,” kata Karim.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee menewaskan dua pelumba senior pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan catatan 10.26s.
Danish berusia 18 tahun mencuri perhatian apabila meraih emas di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan catatan 10.26 saat.
Selain Danish, acara riben biru itu turut digalas pelari berpengalaman Jonathan Nyepa yang bakal memperkukuh cabaran negara.
Karim percaya ketiadaan Azeem bukan kehilangan mutlak, sebaliknya peluang terbaik untuk bakat baharu menyerlah di pentas dwi tahunan itu.