PEMERHATI sukan dan bekas Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj mengingatkan FAM agar meneliti setiap langkah sebelum membawa isu pemalsuan dokumen pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Beliau menegaskan bahawa keputusan FIFA yang dikeluarkan baru-baru ini mungkin hanya sebahagian daripada keseluruhan bukti yang dimiliki oleh badan induk bola sepak dunia itu. Justeru, tindakan terburu-buru tanpa penelitian menyeluruh berisiko membawa implikasi lebih besar terhadap FAM.
“FAM perlu benar-benar berfikir sebelum membawa perkara ini ke CAS kerana kemungkinan FIFA mempunyai lebih banyak bukti atau dokumen yang kita tak tahu,”katanya.
Menurutnya, FAM perlu mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai setiap kemungkinan serta mendapatkan nasihat perundangan yang kukuh sebelum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung rayuan tersebut.
“Apabila FAM pergi ke CAS, persoalannya ialah apakah dokumen lain yang mungkin dibawa oleh FIFA? Itu yang perlu difikirkan betul-betul oleh FAM,” tambahnya lagi.
Kenyataan itu hadir selepas FIFA mendedahkan dokumen penghakiman penuh berkaitan kes pemalsuan sijil kelahiran pemain warisan, yang menyaksikan FAM dikenakan denda CHF350,000 serta tujuh pemain digantung selama setahun daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Dalam masa sama, FAM telah mengumumkan akan memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung keputusan berkenaan. Namun, Christopher menegaskan langkah itu perlu disertai dengan strategi perundangan yang jelas serta persediaan rapi bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit dan mengaibkan.
Sebagai perbandingan, statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2024, FIFA memenangi hampir 89.5 peratus kes yang dibawa ke CAS — satu angka yang jelas menggambarkan betapa sukar untuk mencabar keputusan badan induk dunia itu.