KETUA jurulatih pasukan, Peter Cklamovski, tampil memohon maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya kenyataannya baru-baru ini dianggap tidak menghormati badan induk itu, sambil menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat untuk berbuat demikian.

“Saya tidak bermaksud untuk tidak menghormati FAM. Malah, saya tidak mengatakan apa-apa yang berbeza daripada apa yang mereka sendiri telah nyatakan. Mereka telah mengeluarkan kenyataan media minggu lepas. Saya hanya merujuk kepada itu.” 

“Saya tidak tahu apa-apa selain daripada itu. Jadi, kenyataan saya bukanlah satu bentuk ketidakhormatan terhadap FAM. Jika ada yang merasakan saya tidak menghormati FAM, saya mohon maaf.” 

“Tetapi itu bukan niat saya. Dan saya juga tidak mengatakan apa-apa yang baharu,” kata Cklamovski ketika sidang media pra-perlawanan.

Cklamovski turut menegaskan bahawa semangat berpasukan kekal menjadi fokus utama skuad Harimau Malaya tanpa mengira siapa yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Saya selalu katakan, tidak kira siapa yang bermain dalam pasukan kebangsaan, tidak kira siapa yang bersama kami, kami mempunyai mentaliti sebagai satu pasukan. Kami tidak bergantung kepada seorang pemain,” katanya.

“Itulah fokus kami. Dan saya akan terus menegaskan perkara itu kerana itulah cara kami berlatih dan itulah kepercayaan kami terhadap diri sendiri,” jelasnya.

“Siapa pun yang berada di atas padang, 11 pemain akan melaksanakan tugas masing-masing dan tahu bagaimana untuk melakukannya. Dan siapa pun yang masuk ke padang selepas itu akan melakukan perkara yang sama,” tambahnya.