KELIBAT beregu profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani kelihatan berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mencuri tumpuan, adakah mereka kembali ke pangkuan Persafuan Badminton Malaysia (BAM) atau sebaliknya?

Persoalan itu bagaimanapun segera terungkai apabila ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memberitahu, latihan bersama itu sebahagian daripada perancangan program Road to Gold (RTG).

Herry berkata, sesi latihan bersama pemain profesional itu memberi nilai tambah besar kepada skuad kebangsaan, mahupun pemain profesional khususnya dalam meningkatkan kualiti dan intensiti sparring menjelang kejohanan terdekat Terbuka Malaysia.

“Kalau independent, mereka mungkin tak cukup sparring, jadi bila gabung di sini sama-sama saling menguntungkan,” kata Herry ketika ditemui media selepas sesi latihan di ABM.

Setakat ini, kehadiran beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani jalani latohan bersama di ABM bersifat sementara. – Herry IP

Beliau menegaskan kehadiran pemain profesional berprofil tinggi seperti Sze Fei-Izzuddin menambah variasi latihan dan menjadikan suasana kem latihan lebih kompetitif.

“Artinya sparring bertambah, lebih bagus dan kelebihannya jelas untuk pemain-pemain di sini,” katanya.

Herry menjelaskan pemain profesional akan mengikuti sepenuhnya program latihan ditetapkan, sama ada sesi teknik atau perlawanan, selaras dengan perancangan jurulatih kebangsaan.