BEREGU lelaki negara, Aaron Chia menanam azam tinggi untuk mengekalkan stamina dan kecergasan pada tahap tertinggi menjelang pembukaan musim baharu bermula di Terbuka Malaysia di Axiata Arena, 6 Januari depan.

Pemain kelahiran Melaka itu mengakui faktor fizikal kini menjadi keutamaan buat dirinya dan pasangan, Soh Wooi Yik seiring peningkatan usia serta keperluan bersaing di tahap tertinggi.

Menurut Aaron, mereka sudah melalui proses pemulihan yang menjadi sebahagian daripada program latihan bagi memastikan badan sentiasa bersedia menghadapi musim yang panjang.

“Jurulatih rasa fizikal dan kecergasan kami perlu ditingkatkan, bukan kerana paling tua tetapi kami boleh dikira senior,” kata Aaron ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pemain beregu lelaki negara perlu meningkatkan tahap kecergasan untuk lebih stabil di tabun hadapan.

Dia yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik menegaskan usaha mengekalkan kecergasan bukan isu besar kerana program latihan dan pemulihan dilaksanakan secara konsisten sepanjang musim.

Dalam masa sama, Aaron mendedahkan perancangan lebih selektif akan dibuat menjelang musim 2026 termasuk memilih kejohanan yang perlu disertai daripada 12 Jelajah Dunia wajib.

Katanya, sasaran kurang daripada 20 kejohanan setahun bakal ditetapkan bagi memastikan tahap kecergasan dan kondisi kekal optimum sepanjang musim.