KETUA Jurulatih Skuad Futsal Harimau Malaya B-19, Rakphol Sainetngam, menyifatkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir ASEAN Futsal Cup U-19 2025 sebagai satu perkembangan positif buat futsal muda negara. Walaupun tewas tipis 0-1 kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Khamis lalu, skuad negara tetap berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan selepas membuka kempen dengan keputusan seri 3-3 menentang Myanmar.
Saingan sengit dalam kumpulan yang turut dibarisi pasukan-pasukan kuat rantau ini menjadikan pencapaian tersebut sesuatu yang membanggakan buat barisan kejurulatihan dan pemain. Malaysia dilihat mampu bersaing dengan baik meskipun majoriti pemain berdepan pengalaman antarabangsa buat kali pertama di pentas kejohanan utama.
“Pertama sekali, saya minta maaf dengan suara saya kerana hari ini saya menggunakan banyak tenaga. Saya rasa perlawanan ini menyaksikan pemain-pemain kita bermain dengan sangat baik dan saya amat gembira kerana pasukan ini berjaya mara ke separuh akhir,” kata Rakphol.
“Banyak pasukan kuat berada di sini seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam. Jadi saya sangat berbangga kerana kami mampu berada di separuh akhir,” katanya lagi mengulas tahap persaingan tinggi dalam kejohanan tersebut.
“Saya datang ke sini bukan dengan sasaran untuk menjadi juara. Matlamat utama saya adalah untuk pemain-pemain mendapatkan pengalaman kerana kejohanan futsal B-19 di negara kami baru sahaja bermula,” katanya yang menegaskan bahawa sasaran utama pasukan adalah memberi pendedahan dan pengalaman buat pemain muda negara.
“Walaupun kami hanya mempunyai sekitar 12 pasukan dalam kejohanan tempatan, semua pemain menunjukkan komitmen dan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan ini,” katanya, sambil memuji kesungguhan yang ditampilkan anak buahnya.
Malaysia dijadualkan bertemu tuan rumah Thailand pada aksi separuh akhir ASEAN Futsal Cup U-19 2025 yang akan berlangsung pada 27 Disember ini.
Kredit Gambar : famalaysia