ENGGAN menetapkan catatan dan jangka masa untuk memuncak, pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee mahu konsisten dahulu dengan catatan terbaik acara 100 meter (m), 10.18 saat (s), menjelang aksi besar di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Oregon, Amerika Syarikat, Ogos depan.

Pelari berusia 19 tahun dari Johor yang menjadikan jaguh Thailand, Puripol Boonson sebagai sumber inspirasi berkata, konsistensi yang dipamer Puripol sehingga muncul wakil Asia Tenggara pertama mencatat bawah 10 saat, menjadi panduan buatnya.

“Puripol sebelum ini konsisten sekitar 10.1s, tetapi tiba-tiba mampu mencatat bawah 10s dan itu meningkatkan lagi motivasi serta keyakinan saya bahawa apa-apa boleh berlaku dalam acara pecut,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026, malam tadi.

Pada Sukan SEA itu, Puripol mencatat 9.94s dalam saringan sebelum meraih emas final dengan 10.00s, manakala Danish membawa pulang gangsa menerusi catatan 10.26s selepas mencipta rekod peribadi 10.18s dalam saringan.

Catatan 10.18s itu bukan sahaja melepasi had kelayakan 10.50s ke Kejohanan Dunia B-20 di Oregon, malah menjadi sasaran konsistensi yang mahu dikekalkannya dalam setiap kejohanan utama.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan atau jangkaan terlalu tinggi kerana fokus saya adalah menampilkan prestasi terbaik dan kalau ada rezeki podium, Alhamdulillah,” katanya yang menerima insentif RM2,500 daripada MA hasil pencapaiannya memecah rekod kebangsaan 200m (RM1,500) dan rekod kebangsaan 4x100m (RM1,000).

Danish yang juga juara SUKMA 2024 kini menjalani latihan intensif sambil menyambung pengajian Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan di UPSI di bawah pemantauan jurulatihnya yang juga bapa sendiri, Muhammad Roslee Ismail.

Untuj rekod, Danish melepasi masa kelayakan untuk acara 100m dan 200m di Oregon, namun buat masa ini hanya akan fokus kepada 100m sahaja.