KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memperkukuh pembangunan Muaythai di Terengganu dengan menyalurkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM65,000 bagi penganjuran Kejohanan Muay Thai Negeri Terengganu 2025 di Padang Bola Sepak Felda Kerteh 5, Sabtu lalu.
Setiausaha Sulit kepada Menteri Belia dan Sukan, Nor Miswary Ramli berkata, bantuan itu meliputi kos logistik, pengurusan dan fasiliti demi meningkatkan kualiti kejohanan serta melahirkan bakat baharu.
“Dana ini juga selaras dengan usaha KBS menggalakkan gaya hidup aktif dan membina asas sukan akar umbi,” katanya.
Sebanyak 35 pertarungan Muaytsport amatur berlangsung dari pagi hingga petang membabitkan 70 peserta berusia 7 hingga 21 tahun dari Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Melaka.
Sebelah malam, Sabri dari ThaiVisix Muaythai Kerteh mencuri tumpuan apabila menewaskan Reymi Fighter dari Shah Alam untuk menjulang tali pinggang utama kejohanan menerusi kemenangan mata 30-28.
Dalam pertarungan lain, Iffat dari AJV Muaythai Melaka mengatasi Wira ThaiVisix Felda Kerteh 5 untuk memenangi tali pinggang sumbangan penaja, juga menerusi kiraan mata 30-28.
Persembahan silat dari Persatuan Silat Seni Nilam Felda Kerteh 5 yang diketuai Poklong Awie turut memeriahkan majlis sebelum upacara perasmian kejohanan.
Turut hadir, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili; Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mohd Fais Mohd Sendek; Pengarah Kejohanan, Mohd Dzuhairy Hussain dan beberapa tetamu kehormat lain. Kejohanan berakhir sekitar jam 12.15 malam.