SAINGAN menjadi tuan rumah Piala Asia semakin sengit apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan senarai negara yang mengemukakan bidaan bagi edisi 2031 dan 2035, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perebutan hak penganjuran kejohanan paling berprestij di benua itu.
Langkah ini susulan cadangan Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, yang mahu pemilihan tuan rumah bagi kedua-dua edisi 2031 dan 2035 dibentangkan serta diluluskan dalam satu Kongres AFC, sebagai pendekatan lebih strategik dan berpandangan jauh.
Bagi Piala Asia 2031, enam bidaan diterima membabitkan Australia, India, Indonesia, Korea Selatan dan Kuwait, selain bidaan bersama tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan, selepas Emiriah Arab Bersatu menarik diri daripada proses berkenaan.
Sementara itu, perlumbaan untuk edisi 2035 turut menarik minat kuasa besar bola sepak Asia apabila Australia, Jepun, Korea Selatan dan Kuwait secara rasmi menyatakan hasrat menjadi tuan rumah, menandakan persaingan sengit bakal tercetus dalam tempoh terdekat.
AFC sebelum ini membuka tingkap bidaan bagi edisi 2035 pada Ogos 2025 dan menutupnya pada 31 Disember lalu, dengan sambutan yang disifatkan memberangsangkan serta mencerminkan keyakinan tinggi negara anggota terhadap kemampuan menganjurkan kejohanan berskala besar.
Menurut AFC, pihaknya kini akan berurusan secara langsung dengan semua persatuan yang membida bagi menyelaras penyerahan dokumen rasmi, mengikut garis masa, peraturan serta proses penilaian yang ditetapkan.
Dengan reputasi Piala Asia yang semakin meningkat dari segi komersial dan kualiti penganjuran, keputusan akhir nanti bukan sekadar soal lokasi, tetapi juga penentu hala tuju bola sepak Asia untuk dekad akan datang.