Kredit Gambar: Asia Hockey Federation
Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan memulakan kempen Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China dengan begitu positif menerusi kemenangan selesa 8-0 ke atas Kazakhstan dalam aksi pertama Kumpulan B semalam.
Biarpun Young Tigers terlalu dominan dan sukar ditandingi oleh Kazakhstan, namun Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin masih merasakan ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki.
Antara aspek yang perlu ditingkatkan adalah permulaan perlahan ditunjukkan barisan pemain muda negara selepas membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Rahuul Fazrien Nazrien.
“Selepas gol itu, kita terus perlahan. Semalam Kazakhstan kena 15 gol dengan Pakistan, jadi sudah tentu mereka penuhkan di bahagian pertahanan terutamanya dalam 10 minit yang pertama.
“Kita ada banyak peluang dalam kawasan mereka tetapi tak dapat jaringkan gol. Jadi antara kelemahan perlu dibaiki adalah pemain-pemain kena curi peluang itu dan hasilkan jaringan.
“Kemudian kita bangkit di suku ketiga dan keempat, hasilnya menang dengan lapan gol. Perlawanan ini penting juga untuk kita kerana ia menjadi bekalan untuk aksi seterusnya berdepan Bangladesh esok (hari ini),” katanya.
Rahuul dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu selepas turut meledak satu lagi gol padang pada minit ke-32.
Baki enam lagi jaringan Young Tigers dihasilkan oleh Safwan Salihe (32′ PC), Faiz Afzan Faizal (39′ FG), Muhammad Aizat Akhera (44′ FG), Gagandeep Singh Aphthar Singh (48′ FG), Shafiq Ammar Fahmi Suzaini (51′ FG) dan Dheeressh Gunaseelan (60′ PC).
Dalam masa sama, Nor Saiful mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak leka kerana Bangladesh dilihat mempunyai keupayaan untuk bertahan dengan baik dan melakukan serangan balas pantas.
“Bangladesh bertahan dengan baik menentang China semalam dan mereka hanya menunggu untuk lakukan serangan balas. Itu yang berbahaya kalua kita terlalu naik dalam kawasan mereka.
“Bangladesh sekarang tidak seperti dulu. Kalau tengok aksi menentang China, mereka juga boleh menang tetapi tak manfaatkan beberapa peluang yang ada. Jadi esok bukan satu perlawanan yang mudah,” jelas Nor Saiful.