SERAMAI 42 pemain hoki kebangsaan telah memulakan sesi latihan dan pemilihan wajah baharu Speedy Tigers pada Selasa, menjelang saingan hoki musim 2024 yang akan bermula tidak lama lagi.

Ketua jurulatihnya, Sarjit Singh memaklumkan bahawa jumlah sebenar pemain yang dipanggil adalah seramai 46 orang namun beberapa daripadanya tidak berjaya untuk melapor diri semalam dan telah menghubungi Sarjit untuk menyatakan alasan tertentu.

“Antara yang tiada disini adalah Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim yang akan lapor diri lambat sedikit, Perabu Tangaraja pula telah menarik diri pada saat-saat akhir atas sebab peribadi, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Andywalfian Jeffrynus masih cedera dan belum pulih sepenuhnya.

“Manakala, Faizal Saari perlu bermain di Bangladesh kerana dia tiada dalam senarai skuad kebangsaan sebelum ini. Jadi, beliau buat perancangan untuk pergi beraksi di sana dahulu,” ujar Sarjit di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil.

Sarjit Singh beri sedikit kata-kata motivasi sebelum memulakan sesi latihan pada Selasa.

Aksi terdekat buat skuad hoki kebangsaan negara adalah Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung pada Mei depan, dan Sarjit telah merangka satu ‘ujian’ pemanas badan dengan pasukan New Zealand, sebelum berentap di kejohanan tersebut.

“Perlawanan persahabatan dengan New Zealand bakal berlangsung pada 1 Mei di Ipoh, Perak dan itu adalah satu cara untuk kita uji kekuatan skuad Speedy Tigers yang ‘berwajah’ baharu sebelum beraksi di Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula dari 4 hingga 11 Mei ini.

“New Zealand merupakan antara pasukan yang akan bersaing di Sukan Olimpik, jadi kita akan cuba bermain dan menguji kekuatan kita dengan mereka,” tambahnya.

Speedy Tigers juga difahamkan sedang mencatur aksi persabatan bersama pasukan Pakistan dan kemungkinan kedua-dua pasukan itu bakal bertemu dalam satu kumpulan (pool) Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di Poland, Mei depan.